https://www.facebook.com/daengperfume Cerita Terkini: Hati
Showing posts with label Hati. Show all posts
Showing posts with label Hati. Show all posts

Wednesday, June 26, 2013

Catat impian, harapan atas kertas

Wanita yang duduk di hadapan penulis bukan calang-calang orang. Mendengar kisah suka dan duka bergelar usahawan, sememangnya dia seorang yang tabah dan kuat semangat.
Pernah jatuh kemudian dia bangkit semula, kegagalan dalam perniagaan menjadi perkara biasa kerana bagi Ketua Pegawai Eksekutif Gaia Plas dan Gagasan Group of Companies, Rina Shahar, untuk berjaya seseorang itu harus berdepan cabaran.
Kemampuan untuk menghadapi apa juga rinta­ngan menjadi penentu kepada kejayaan.

Dilahirkan dalam keluarga sederhana dengan ayah bekerja sebagai pemandu jentera tolak, memberi inspirasi kepada Rina untuk mengubah nasib keluarga.
Foto
RINA bersama kakitangan syarikat Gaia Plas Sdn Bhd.

Dia berusaha mencari wang dengan berniaga kerepek dan nasi lemak di sekolah. Duit itu kemudiannya digunakan untuk perbelanjaan sekolah.

Tidak terhenti setakat itu, apabila ada masa terluang terutama ketika cuti sekolah, dia mencari kerja ­sambilan.

Tidak seperti remaja lain yang bercita-cita melanjut­kan pengajian di universiti, Rina mempunyai persepsi berbeza. Dengan hanya berbekalkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia percaya pada kebolehan diri dan yakin suatu hari nanti mampu membina empayar perniagaan.

“Memang niat saya mencari kerja selepas SPM kerana ingin membantu keluarga. Akhirnya saya diterima bekerja di syarikat perbankan. Walaupun menerima gaji bulanan, saya masih meneruskan kerja sambilan.

“Ketika itu, saya perhatikan ramai orang Cina menjual tayar dan besi buruk, tiada pula orang Melayu melakukannya. Saya mula terfikir inilah perniagaan yang akan saya lakukan. Biar pun ia kotor dan busuk kerana terpaksa mengangkat besi dan tayar buruk, saya sukakannya,” katanya.

Berbekalkan sebuah van yang disewa, dia memulakan operasi pada Sabtu dan Ahad untuk mencari tayar terbuang terutama di kilang dan kawasan perumahan. Dia langsung tidak menyangka pekerjaan yang tidak pernah difikirkan itu memberikan hasil lumayan melebihi gaji bulanan.

“Bayangkan untuk 100 kilogram tayar pada bahagian tiub yang dikumpul, saya mampu mendapat ratusan ringgit sehari. Ia tentunya satu pendapatan yang tidak pernah dijangka,” ujarnya.

Menyedari hasil yang semakin bertambah, akhirnya Rina berhenti kerja dan menubuhkan syarikat sendiri. Dari situ, dia mula belajar berurusan dengan syarikat besar untuk mendapatkan kontrak pembelian kabel. Untungnya, disebabkan tidak banyak syarikat Bumiputera menjalankan perniagaan ini, dia sentiasa mendapat kontrak.

“Ketika itu, perniagaan besi buruk dan kabel elek­trik mendatangkan hasil yang sangat lumayan. Saya sendiri tidak pernah terfikir mampu pergi sejauh itu membuka syarikat dan kilang pemprosesan besi buruk dan kabel elektrik sehingga mampu bergelar jutawan pada usia 22 tahun,” ujarnya.

Menyedari terdapat sesuatu yang boleh dikembang­kan menerusi perniagaan besi dan tayar, Rina memperluaskannya kepada perusahaan plastik pada 2006 menerusi penghasilan botol ubat untuk hospital kerajaan. Ketika itu tidak ramai usahawan Bumiputera melakukannya dan ini memberi peluang kepada Rina mendapat kepercayaan daripada pihak kerajaan sehingga dia menambah kepada pembuatan botol minyak masak serta bahan kimia.

Namun benar kata pepatah, langit tidak selalunya cerah, mungkin ada silapnya, perniagaan yang dijalankan mula me­ngalami kerugian sehingga me­nyebabkan dua kilang terpaksa ditutup.

“Siapa yang tidak kecewa apabila hasil usaha selama ini terkubur begitu saja. Apatah lagi ketika itu saya gagal mempertahankan rumah tangga sehingga terpaksa berpisah dengan suami. Bagi mengubat kedukaan, saya melarikan diri ke Mesir dengan harapan mendapat ketenangan. Namun, sebaliknya berlaku apabila hati saya tidak pernah tenteram. Perasaan begitu kuat untuk kembali ke Malaysia,” katanya.


Buka semula perniagaan

Sekembalinya ke Malaysia, dia yang pernah bergelar usahawan berjaya suatu ketika dulu ingin membuka semula perniagaan. Walaupun dihambat rasa takut pada kegagalan, Rina berusaha bersungguh-sungguh memperbaiki kesilapan lalu.

“Perkara pertama yang saya lakukan adalah me­ngikuti program motivasi. Dari situ, saya memperoleh apa yang tidak pernah saya lakukan dan utamakan iaitu menjaga hubungan dengan Allah. Saya mula mengenali kekuatan dan kelemahan diri serta berusaha memperbaikinya.

“Dulu saya lupa, dalam perniagaan bukan hanya keuntungan semata-mata, tetapi menjaga hubungan dengan Allah adalah tanggungjawab paling besar dan utama. Saya mula mengeluarkan zakat perniagaan kerana ia hak Allah. Lama-kelamaan perniagaan saya semakin maju dan memperoleh keuntungan berganda,” katanya.

Usaha Rina bukan setakat di situ saja, dia juga menubuhkan Gagasan Event bagi menjalankan program amal untuk anak yatim serta mereka yang memerlukan, selain menambah pembelian kenderaan jenazah untuk diberikan kepada kawasan tertentu.

Enggan berada di tahap lama dan sentiasa kreatif dalam mempelbagaikan hasil jualan, Rina tekad mencari cabang perniagaan yang jarang dilakukan peniaga Melayu. Menyedari anak­nya gemar rancangan kartun Boboiboy, dia berusaha mendapat lesen dan kelulusan me­ngeluarkan produk Boboiboy seperti anak patung, topi, alat tulis dan bekas air.

“Sebelum menghasilkan koleksi rangkaian anak patung Boboiboy, saya mendapatkan penjelasan daripada jabatan agama Islam mengenai status halal atau haram menyimpan anak patung di rumah.

“Saya difahamkan anak patung yang bersifat statik dan kekal dalam keadaan rupa bentuk asal haram disimpan. Jadi menerusi rekaan, saya cuba tampilkan anak patung yang boleh ditanggalkan dan dicantum semula bagi mengelak sebarang salah faham pada kemudian hari,” katanya.

Menjadikan perjalanan kerjaya wanita ini lebih lancar, Petronas berminat melamar produk Boboiboy untuk diletakkan di hampir 800 Kedai Mesra Petronas di seluruh negara. Malah, ia turut dipasarkan di luar negara termasuk Indonesia, Thailand, Filipina, Singapura, Brunei dan Dubai.

Dengan menempuh pelbagai cabaran, jatuh bangun dalam perniagaan, Rina percaya selain kekuatan diri, menjaga hubungan dengan Tuhan serta menghasilkan produk untuk masyarakat adalah satu perkara yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan di penghujungnya.

Selain itu, ­banyak bersedekah dan membantu mereka yang memerlukan sememangnya penting bagi mendapat keberkatan.

“Apa yang saya lalui dulu dan kini semuanya ditentukan oleh-Nya. Kita hanya merancang, tetapi perencana terbaik adalah Allah. Dia yang memberi rezeki dan bila-bila masa saja dia mampu menarik kembali apa saja yang menjadi milik kita. Oleh itu, kita harus sentiasa beringat,” katanya.

Rina yang dicalonkan untuk anugerah SME Terbaik Asia 2013 di Singapura, baru-baru ini turut berkongsi rahsia kejayaan iaitu amalan menulis surat sejak 15 tahun lalu sehing­ga sekarang. Ini dilakukan dengan mencatat di atas sekeping kertas apa saja yang tersirat juga impian, harapan dan cita-cita pada setiap tahun.

“Saya menulis cita-cita dan impian pada setiap tahun dengan lebih spesifik kerana saya percaya apa yang saya fikir, harap, rasa dan sebut pada setiap hari adalah satu doa. Bayangkan sekiranya harapan ini sentiasa tersemat di hati, tidak mustahil ia akan menjadi satu kenyataan suatu hari nanti.

“Memang benar setiap kali membaca kembali surat itu saya merasakan ia bagaikan satu mimpi. Apa saja yang saya harapkan dan catatkan semuanya menjadi kenyataan, malah ia menjadi semangat kepada saya memberikan yang terbaik dalam apa juga yang saya lakukan pada masa depan,” katanya.

Biskut lidah kucing

Lidah kucing jadi biskut? Usah terperanjat, ia sebenarnya sekadar nama.
Biskut warna-warni diketengahkan Rohana Abdul Hamid, 52, yang kini menetap di Salak Tinggi, ini sememangnya mudah mencuri tumpuan. 
Biskut ini sebenarnya daripada jenis ‘cat’s tounges cookies’ atau biskut lidah kucing. Ada pelbagai jenis ‘cat’s tounges cookies’ di seluruh dunia. Ada yang membuatnya dengan perisa mocca, oren, vanila dan pelbagai perisa lain mengikut kreativiti sendiri. 

Dikatakan berasal dari Sepanyol, biskut ini sangat popular di negara jiran Indonesia terutama pada musim Tahun Baru Cina.

Ada yang mengubah biskut ini mengikut selera sendiri dengan menjadikannya dwiwarna contohnya perasa vanila digabung dengan coklat.

Rohana pula memperkenalkan versi biskut berwarna pelangi jadi dia dipanggil biskut pelangi saja. Rasanya sedap, ringan, lemak dan rangup. 

Loyang yang digunakan Rohana khas untuk membuat biskut ini. 

“Resipi ini saya peroleh dari Indonesia,” kata anak kelahiran Guar Cempedak, Kedah ini yang berkelulusan dalam bidang perhotelan dan katering. 

Hasil biskut yang dibuat Rohana memang cantik kerana ia berwarna-warni serta sesuai disediakan untuk majlis keraian seperti hari jadi, hantaran dan hidangan meja utama. 

Rohana mengaku membuatnya sangat remeh dan memerlukan kesabaran tetapi dia tidak kisah berkongsi ilmunya dengan sesiapa saja. 

Minatnya yang mendalam terhadap dunia memasak kek dan biskut membuatkan dia begitu rajin menambah ilmu dengan menghadiri banyak kelas seumpamanya sehingga ke Indonesia. 

Daripada kuih-muih Melayu, biskut, kek, roti hinggalah ke pastri, semuanya dipelajari. Ilmu itu kemudiannya dikongsi pula dengan mengadakan kelas untuk mereka yang berminat. 

“Resipi biskut pelangi ini senang saja namun proses menempa paling lama dan kerana ia lembut, perlu menggunakan beg piping,” katanya. 

Sekiranya mahu menambah sedap pada adunan, boleh mengurangkan adunan tepung untuk digantikan dengan serbuk badam atau parutan keju. Ini boleh membuatkan rasanya berlainan dan lebih enak, mengikut selera masing-masing. 

Sebaik mengandung anak pertama lagi, Rohana sudah berhenti kerja kerana mahu menjaga anak dengan tangannya sendiri. 

Kini selepas semuanya dewasa dan melanjutkan pelajaran, Rohana tinggal bersama suami saja di rumah. Kesunyian membuatkan dia mahu menyibukkan diri dengan perkara yang paling disukainya iaitu membuat biskut dan kek. 

Selain di laman sosial Facebook, Rohana sering berkomunikasi dengan pembaca blognya iaitu kakanaskitchen.blogspot.com. 

Rohana kini sudah melangkah ke bidang baru pula iaitu menyediakan perkhidmatan hamper. Perniagaan ini sangat berkait rapat dengan kepakaran Rohana di bidang kuih-muih, kek dan biskut kerana dia hanya menggunakan biskutnya sendiri untuk hamper yang dipesan di musim perayaan. 

“Apabila menggunakan produk sendiri, saya dapat memantau kualiti dan kesedapannya dan tidak sekadar cantik dipandang. Begitu juga dari segi masa menyiapkan produk serta penghantarannya,” katanya. 

Sebulan dua sebelum Ramadan, Rohana terpaksa menghentikan kelas kek dan biskutnya kerana mahu menumpukan perhatian pada persediaan hamper. Dia perlu mencari resipi baru dan idea baru bagi membuatkan produknya tampil segar.