Lidah kucing jadi biskut? Usah terperanjat, ia sebenarnya sekadar nama.
Biskut warna-warni diketengahkan Rohana Abdul Hamid, 52, yang kini menetap di Salak Tinggi, ini sememangnya mudah mencuri tumpuan.
Biskut ini sebenarnya daripada jenis ‘cat’s tounges cookies’ atau biskut lidah kucing. Ada pelbagai jenis ‘cat’s tounges cookies’ di seluruh dunia. Ada yang membuatnya dengan perisa mocca, oren, vanila dan pelbagai perisa lain mengikut kreativiti sendiri.
Dikatakan berasal dari Sepanyol, biskut ini sangat popular di negara jiran Indonesia terutama pada musim Tahun Baru Cina.
Dikatakan berasal dari Sepanyol, biskut ini sangat popular di negara jiran Indonesia terutama pada musim Tahun Baru Cina.
Ada yang mengubah biskut ini mengikut selera sendiri dengan menjadikannya dwiwarna contohnya perasa vanila digabung dengan coklat.
Rohana pula memperkenalkan versi biskut berwarna pelangi jadi dia dipanggil biskut pelangi saja. Rasanya sedap, ringan, lemak dan rangup.
Loyang yang digunakan Rohana khas untuk membuat biskut ini.
“Resipi ini saya peroleh dari Indonesia,” kata anak kelahiran Guar Cempedak, Kedah ini yang berkelulusan dalam bidang perhotelan dan katering.
Hasil biskut yang dibuat Rohana memang cantik kerana ia berwarna-warni serta sesuai disediakan untuk majlis keraian seperti hari jadi, hantaran dan hidangan meja utama.
Rohana mengaku membuatnya sangat remeh dan memerlukan kesabaran tetapi dia tidak kisah berkongsi ilmunya dengan sesiapa saja.
Minatnya yang mendalam terhadap dunia memasak kek dan biskut membuatkan dia begitu rajin menambah ilmu dengan menghadiri banyak kelas seumpamanya sehingga ke Indonesia.
Daripada kuih-muih Melayu, biskut, kek, roti hinggalah ke pastri, semuanya dipelajari. Ilmu itu kemudiannya dikongsi pula dengan mengadakan kelas untuk mereka yang berminat.
“Resipi biskut pelangi ini senang saja namun proses menempa paling lama dan kerana ia lembut, perlu menggunakan beg piping,” katanya.
Sekiranya mahu menambah sedap pada adunan, boleh mengurangkan adunan tepung untuk digantikan dengan serbuk badam atau parutan keju. Ini boleh membuatkan rasanya berlainan dan lebih enak, mengikut selera masing-masing.
Sebaik mengandung anak pertama lagi, Rohana sudah berhenti kerja kerana mahu menjaga anak dengan tangannya sendiri.
Kini selepas semuanya dewasa dan melanjutkan pelajaran, Rohana tinggal bersama suami saja di rumah. Kesunyian membuatkan dia mahu menyibukkan diri dengan perkara yang paling disukainya iaitu membuat biskut dan kek.
Selain di laman sosial Facebook, Rohana sering berkomunikasi dengan pembaca blognya iaitu kakanaskitchen.blogspot.com.
Rohana kini sudah melangkah ke bidang baru pula iaitu menyediakan perkhidmatan hamper. Perniagaan ini sangat berkait rapat dengan kepakaran Rohana di bidang kuih-muih, kek dan biskut kerana dia hanya menggunakan biskutnya sendiri untuk hamper yang dipesan di musim perayaan.
“Apabila menggunakan produk sendiri, saya dapat memantau kualiti dan kesedapannya dan tidak sekadar cantik dipandang. Begitu juga dari segi masa menyiapkan produk serta penghantarannya,” katanya.
Sebulan dua sebelum Ramadan, Rohana terpaksa menghentikan kelas kek dan biskutnya kerana mahu menumpukan perhatian pada persediaan hamper. Dia perlu mencari resipi baru dan idea baru bagi membuatkan produknya tampil segar.
No comments:
Post a Comment