https://www.facebook.com/daengperfume Cerita Terkini: Melaka lokasi tumpuan penyu

Wednesday, June 26, 2013

Melaka lokasi tumpuan penyu

Lensa kamera tiba-tiba terarah kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang menjadi tumpuan pengunjung Pantai Kemunting, Masjid Tanah, Melaka.
Tidak pasti mengapa kelibatnya menjadi tumpuan, namun selepas dihampiri, semua persoalan terungkai kerana di ta­ngannya terdapat seekor anak penyu Karah yang dilepaskan ke pantai.
Bagi Nor Saifudin Harun, 8, kehidupannya sangat sinonim dengan penyu Karah yang mudah dilihat di persisiran pantai itu.

Sebagai pemungut telur berlesen di sekitar Pengkalan Balak dan Padang Kemunting, kira-kira 25 tahun lalu, Harun Safar, 57, kerap membawa anaknya mengutip telur penyu.
Sebab itu Nor Saifudin tidak kekok memegang anak penyu Karah ketika diminta berbuat demikian.

Selain Nor Saifudin, minat terhadap penyu Karah turut dikongsi 42 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ghafar Baba, Masjid Tanah.

Ditemani Guru Penasihat Kelab Eco-Schools sekolah itu, Rohaya Abd Wahab, kehadiran kumpulan pelajar itu menjadi pelengkap kepada aktiviti sempena Hari Penyu Sedunia, tahun lalu.

Program di bawah Worldwide Fund For Nature (WWF) itu memberi kesedaran dan pendidikan kepada generasi muda pentingnya menjaga dan memulihara penyu yang mengalami kepupusan.

Di sisi lain, sekumpulan penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor, turut menyertai Majlis Penghayatan Pemuliharaan Penyu, Program Kembara Media Perikanan 2013, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Hashim Abdullah.

Di bawah Kelab Budi Penyayang, 28 pelajar itu sedondon berpakaian kelab sebagai menyokong program konservasi dilakukan Pusat Konservasi dan Pe­nerangan Penyu, Jabatan Perikanan, Padang Kemunting, Masjid Tanah.

Penyu wujud sekitar 100 juta tahun lalu dengan keadaan fizikalnya kekal seperti zaman dinosaur.

Haiwan terbabit boleh hidup lama dan untuk matang ia mengambil masa antara 20 hingga 50 tahun sebelum kembali ke pantai berpasir untuk bertelur.

Di dunia terdapat tujuh jenis penyu iaitu penyu Belimbing (Dermochelys coriacea), Agar atau Hijau (Chelonia mydas), Karah atau Sisik (Eretmochelys imbricata) dan Lipas (Lepidochelys olivacea).

Daripada empat spesies terbabit, Penyu Karah adalah penyu tercantik di dunia dengan Melaka menjadi negeri terbanyak pendaratan dan tertinggi di Asia Tenggara.

Penyu Karah akan hilang dalam tempoh tertentu yang dikenali ‘tahun-tahun kehilangan’ sebelum pulang semula ke pantai untuk bertelur selepas mencapai usia 20 tahun.

Spesies ini akan ber­telur antara empat hing­ga lima kali setahun untuk bertelur dengan setiap sarang mengandungi antara 100 hingga 130 biji.

Penyu ini mempunyai karapas yang keras dan nampak seperti sisik-sisik bertindih dengan warna badannya adalah coklat, bersaiz sederhana dan boleh membesar sehingga 70 hingga 90 sentimeter (cm) manakala berat badannya di antara 35 hingga 75 kilogram (kg).

Bentuk paruh mulutnya menyerupai paruh helang dan makanan utamanya adalah span dan karangan lembut yang terdapat di kawasan terumbu karang.

Spesies penyu ini kebanyakannya terdapat di kawasan terumbu karang dan musim bertelur antara Mac hingga Jun.

Selain Melaka, penyu ini terdapat di Tereng­ganu, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak dan telurnya berwarna putih dengan kulit yang lembik dan berukuran garis pusat lebih kurang lima sentimeter.

Fakta menunjukkan daripada 5,000 hingga 10,000 ekor anak penyu yang dilepaskan ke laut hanya seekor mendarat balik ke lokasi asalnya untuk bertelur semula.

Pengarah Pejabat Perikanan Negeri Melaka, Rosmawati Ghazali berkata, Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Padang Kemunting, Majid Tanah menjalankan tugas pengurusan dan pemantauan aktiviti pendaratan penyu di pantai dan pulau di Melaka.

“Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu ini me­nguruskan pendaratan dan penetasan telur Pe­nyu Karah kerana jumlah pendaratan tahunan spesies itu di Melaka adalah tertinggi di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Rosmawati berkata, pusat konservasi itu juga merancang program pemuliharaan dan kesedaran awam bersama-sama ma­syarakat setempat, luar dan badan bukan kerajaan.
“Kami turut merancang meningkatkan imej Jabatan Perikanan melalui Pusat Pengurusan Penyu sebagai salah satu lokasi pelanco­ngan,” katanya.

Beliau berkata, tahun lalu, Pusat Pengurusan Penyu (TIC) mengeluarkan lesen kepada 17 pemungut telur penyu berlesen.

“Sebanyak 40,043 biji telur penyu diperoleh daripada 30 sarang tahun lalu. Jumlah pungutan itu menurun berbanding tahun sebelumnya sebanyak 72,764 biji telur.

“Sehingga kini bilangan pemungut telur berlesen meningkat kepada 20 orang membabitkan kawasan berkeluasan 56 kilometer (km),” katanya.

Penyu Karah merekod­kan pendaratan tertinggi di Melaka dan bilangannya mencecah sehingga 500 sarang setahun.

“Anak penyu yang dilepaskan mencecah 56,000 ekor dengan bilangan pe­ngunjung yang datang mencecah 46,000 setahun,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program Pelestarian Kehidupan Penyu Karah UTM 2013, yang juga pelajar tahun satu Kejuruteraan Geomatik UTM, Muhammad Rafee Abdul Rask berkata, penyertaan mereka untuk memupuk kesedaran memelihara spesies penyu Karah.

No comments:

Post a Comment