https://www.facebook.com/daengperfume Cerita Terkini: Bukit Aman kesan penipuan sijil insurans

Friday, June 28, 2013

Bukit Aman kesan penipuan sijil insurans

Kuala Lumpur: Bukit Aman mengesan kes penipuan insurans membabitkan kerugian RM1.5 juta tahun lalu, yang didalangi ejen atau pekerja syarikat insurans yang dipercayai memperdaya pelanggan dengan memalsukan sijil premium insurans.

Sejak Januari hingga Mei lalu, kerugian akibat penipuan itu bernilai RM777,125. 
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Syed Ismail Syed Azizan, berkata kebanyakan kes dilaporkan membabitkan jenayah pecah amanah oleh ejen atau pekerja syarikat insurans yang mengambil wang diterima daripada pelanggan dan tanpa pengetahuan pelanggan, wang itu tidak diserahkan kepada syarikat insurans. 

Ada juga kes penipuan tuntutan palsu insurans kemalangan dengan mengemukakan dokumen sokongan palsu dan ada juga jenayah pecah amanah pekerja syarikat insurans dengan menggunakan wang syarikat bagi kepentingan sendiri,” Datuk Seri Syed Ismail Syed Azizan,Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman

Modus operandi ejen ialah memperdaya mangsa untuk menyertai skim simpanan atau pelaburan dengan syarikat insurans yang dikatakan boleh memberi pulangan lumayan dan dikeluarkan selepas satu hingga lima tahun pelaburan dibuat.

Polisi insurans nyawa

Bagaimanapun, ejen mendaftarkan pakej yang dibeli mangsa dengan pembelian polisi insurans nyawa. 

Wang yang diterima daripada pelanggan tidak diserahkan kepada syarikat insurans, sebaliknya diseleweng untuk kegunaan peribadi. 
Kemuka dokumen palsu

“Ada juga kes penipuan tuntutan palsu insurans kemalangan dengan mengemukakan dokumen sokongan palsu dan ada juga jenayah pecah amanah pekerja syarikat insurans dengan menggunakan wang syarikat bagi kepentingan sendiri,” katanya kepada BH, semalam.

Syed Ismail berkata, perlakuan jenayah insurans boleh berlaku di mana-mana selagi ada permintaan dan penawaran perlindungan insurans.

Bagaimanapun, katanya, kebanyakan kes dilaporkan tertumpu di pusat bandar berikutan permintaan tinggi warga kota terhadap perlindungan insurans.

“Setakat ini, tiada sindiket dikesan terbabit dalam kes jenayah insurans. 

“Kegiatan itu dilakukan oleh individu iaitu ejen insurans, pekerja syarikat insurans dan pemegang polisi insuran.

“Kebanyakan mangsa terpedaya kerana mendapat resit pembayaran melalui pembayaran secara manual,” katanya.

Info: Langkah cegah penipuan insurans

* Kenal pasti ejen atau wakil syarikat insurans yang sah atau berlesen sebelum membuat urusan perkhidmatan insurans dan pembelian polisi insurans bagi mengelakkan ditipu.

* Semak butiran dalam resit pembayaran berkaitan insurans seperti jumlah bayaran yang dibuat bagi mengelakkan penyelewengan ke atas wang terbabit oleh ejen atau wakil syarikat insurans.

* Jika membuat pembelian insurans, pastikan segala dokumen ditulis, dibaca dan difahami seperti terma dan syarat dalam polisi insurans yang diterima.

* Berhati-hati dengan salinan dokumen yang diserahkan kepada ejen atau wakil syarikat insurans bagi mengelakkan dokumen disalah guna, antaranya identiti digunakan bagi tujuan pembelian polisi insurans lain atau membuat tuntutan tanpa pengetahuan pemilik sebenar.

* Jangan mudah terpedaya dengan pelbagai pelan pelaburan ditawarkan ejen atau wakil syarikat insurans kononnya boleh untung dalam tempoh singkat.

* Buat semakan terus dengan syarikat insurans jika membuat pembayaran melalui ejen bagi mengelakkan penyelewengan ke atas pembayaran terbabit serta bagi semakan sama ada polisi didaftarkan atau tidak.

No comments:

Post a Comment